Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Komited Bantu Usaha Pemulihan PKS dalam Belanjawan 2021

By 29 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Facebook Tengku Zafrul

PUTRAJAYA, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan komited untuk terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengemudi usaha pemulihan mereka menjelang Belanjawan 2021, menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata langkah ini boleh dilakukan menerusi sokongan yang berterusan dalam pendigitalan dan automasi berdasarkan asas daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KITA PRIHATIN bagi mendorong peralihan itu.

Katanya, kerajaan juga akan membantu PKS mempercepatkan pelaksanaan pendigitalan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 Nov ini.

“Rekod telah menunjukkan bahawa PKS belum beralih sepenuhnya kepada teknologi dan digital penting.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa menerusi pendigitalan, PKS akan mencapai jangkauan pasaran yang lebih meluas dan di peringkat serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh membantu mereka dalam proses ini,” katanya ketika berucap pada Anugerah Institusi Kewangan dan PKS ke-25 Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), semalam.

Menerusi Belanjawan 2021,Tengku Zafrul berkata kerajaan akan turut membimbing PKS ke arah daya tahan dan kemampanan perniagaan memandangkan kebanyakan PKS melaksanakan strategi pertumbuhan yang tinggi untuk membuat keputusan dan ini memberikan sedikit ruang kepada mereka untuk memberikan respons berkesan terhadap kejutan ekonomi.

“Perniagaan juga perlu mengimbangkan keutamaan untuk membantu mereka kekal bertahan tanpa mengira perubahan landskap operasi semasa dan kerajaan melihat bagaimana kemampanan boleh menjadi asas dengan mewujudkan langkah-langkah berteraskan PKS,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda