
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan khabar angin yang menyatakan anggotanya terkena jangkitan COVID-19 setelah terlibat dalam pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Selasa lalu.
Markas ATM menerusi kenyataan media yang dikeluarkan menegaskan maklumat yang tular di media sosial adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah.
“Ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.