Skip to main content
HomePutrajaya

Dewan Negara Lulus Tiga RUU Berkaitan Mahkamah

By 24 September 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Persidangan Dewan Negara semalam meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) melibatkan mahkamah.

Pindaan ke atas Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955 itu diluluskan dengan sokongan suara terbanyak Ahli Dewan Negara.

Tiga senator mengambil bahagian membahaskan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, manakala dua senator bagi RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan seorang Senator untuk RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Shabudin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020 berkata, badan kehakiman akan meminda Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang antara lain memperuntukkan bahawa prosiding dalam talian dianggap sebagai prosiding dalam mahkamah.

“Jadi pemerhatian terhadap gerak laku saksi dan sebagainya akan dikemaskan melalui sistem video conferencing itu,” katanya.

Terdahulu, RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 bagi menambah baik Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan mendapat sokongan suara terbanyak Ahli Dewan Negara.

Seramai sembilan Senator daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu yang secara keseluruhannya mengandungi sembilan fasal.

Rang undang-undang itu yang turut memastikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus melaksanakan fungsinya agar tadbir urus keselamatan negara dapat dilaksanakan secara berkesan juga dibentangkan Shabudin.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Negara akan bersidang semula pada 14 Dis.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda