Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Atlet Politeknik Negeri Sembilan Cemerlang

By 24 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)

BANDAR ENSTEK, 23 Sept (Malaysiaaktif) – Atlet Politeknik Negeri Sembilan membuktikan kehebatan mereka apabila merangkul tiga anugerah dalam Polytechnic Sports Excellence Award (PolySEA) 2019.

Anugerah yang dirangkul tersebut adalah Olahragawan Terbaik dimenangi oleh Ahmad Nur Iman Hakim Rakib (Taekwondo), Pasukan Terbaik (Politeknik Nilai dan Port Dickson) dan Atlet Wanita Harapan Qasidah Najwa Muhammad Halimi (Hoki).

Bagi penerima Anugerah Olahragawan Terbaik, Ahmad Nur Iman Hakim Rakib, 20, beliau melahirkan rasa gembira kerana terpilih bagi memenangi anugerah tersebut.

“Saya sangat berbangga kerana dapat bersama Politeknik Nilai yang banyak membantu saya dari segi pembelajaran dan latihan sukan serta pihak pengurusan politeknik yang mengatur jadual pembelajaran agar saya kekal fokus dan tetap memberikan komitmen sepenuhnya untuk sukan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan pelajar Diploma Peruncitan Politeknik Nilai, telah mewakili sukan taekwondo dengan penyertaan bertaraf dunia seperti Kejohanan Dunia Grand Slam Taekwondo / Pra-kelayakan Olimpik di Wuxi, China dan Kejohanan Taekwondo Dunia di Manchester, England serta memenangi pingat emas semasa temasya Sukan Sea di Manila.

Ahmad Nur Iman Hakim, Olahragawan Terbaik PolySEA 2019.

Ahmad Nur Iman Hakim, Olahragawan Terbaik PolySEA 2019.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Muhamad Naim Yaakub, berkata JPPKK melalui Majlis Sukan Politeknik (MSP) memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada seluruh Politeknik di Malaysia untuk merintis laluan serta membuka peluang kepada para atlet pelapis di Sekolah Sukan Malaysia untuk meneruskan kesinambungan sukan melalui sistem Pendidikan Politeknik Malaysia.

“Pujian harus diberikan di atas kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memainkan peranan masing-masing dengan mewujudkan ‘Smart Partnership’ bagi memajukan pelbagai jenis sukan dalam kalangan pensyarah dan pelajar itu sendiri.

“Nukilan kejayaan ini sebenarnya melahirkan kerjasama semua pihak teruatamanya para pengurus, jurulatih dan atlet yang merupakan nilai tambah yang cukup bermakna bagi membezakan anda rakan yang lain,” katanya ketika merasmikan PolySEA 2019 di Putrajaya, kelmarin.

PolySEA merupakan acara tahunan yang memberikan penghargaan di atas kejayaan para atlet, jurulatih serta institusi terlibat dalam kecemerlangan sukan yang diselaras oleh MSP.

Sebanyak sebelas kategori anugerah yang dipertandingkan antaranya Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Terbaik, Anugerah Atlet Lelaki dan Wanita Harapan, Anugerah Paralimpik Terbaik, Anugerah Pengurus Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik, Anugerah Pasukan Terbaik, Ikon Sukan, Tokoh Sukan dan Politeknik Negeri Terbaik.

-AK

Tinggalkan komen anda