
Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed/Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63, seramai 220 peserta menyertai Program Kayuhan Ambang Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, baru-baru ini.
Program yang menepati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu tidak lebih dari 250 peserta pada satu-satu masa ini menjadi medan terbaik menzahirkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat di sini.

Ariffin Deraman semasa sesi bergambar bersama peserta Kayuhan Ambang Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Menurut pegawai Penyelaras DUN Sebarang Takir, Mohd Fadhil Wahab, beliau tidak menjangka sambutan yang diterima kali ini sangat luar biasa.
“Alhamdulillah, penyertaan yang diterima dalam program ini sangat menggalakkan. Beberapa program akan dirangka pada masa akan datang dan kami akan berikan komitmen sepenuhnya untuk menganjurkan program kayuhan dengan jarak yang lebih jauh,” katanya yang ditemui selepas acara kayuhan berakhir.

Ariffin Deraman melakukan upacara pelepas peserta Kayuhan Ambang Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Ariffin Deraman yang turut hadir telah melakukan upacara pelepasan Kayuhan Ambang Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang ini.
Menurut Ariffin, tujuan program kayuhan ini diadakan adalah untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat kerana melalui aktiviti kayuhan berbasikal, ia mampu menyatupadukan semua komuniti di sini.
“Secra tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda, selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas,” katanya.
Rata-rata peserta ditemui menyatakan rasa gembira walaupun ada yang rasa tidak puas kerana jarak kayuhan yang terlalu dekat iaitu sekitar 20 kilometer.
Kayuhan Ambang Merdeka ini bermula daripada Dataran Budaya, Pantai Teluk Ketapang dan melalui beberapa kawasan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.