Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Satu Kematian, 14 Kes Baharu Dilaporkan

By 2 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini meningkat kepada 128 kes, mewakili 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes apabila satu lagi kematian direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian itu melibatkan wanita warganegara berusia 80 tahun yang merupakan antara kes positif dilaporkan pada 15 Ogos dalam Kluster Tawar serta mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

“Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif COVID-19.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 Sept pukul 10.38 pagi,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 14 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,354 kes.

Dr Noor Hisham berkata lima daripada kes baharu itu adalah kes import yang melibatkan bukan warganegara.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 151 kes.

“Lima kes import itu adalah dari negara Ukraine, Pakistan dan Indonesia (masing-masing satu kes di Selangor) serta Filipina yang melibatkan dua kes di Sabah,” katanya.

Bagi penularan tempatan, beliau berkata terdapat lima kes yang melibatkan warganegara iaitu dua di Kedah (satu kes daripada Kluster Tawar manakala satu lagi daripada Kluster Telaga) manakala di Sabah pula terdapat tiga kes.

“Di Sabah, satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Benteng LD (Lahad Datu), satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu dan satu kes saringan tahanan di penjara,” katanya.

Selain itu, empat kes jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara adalah daripada Kluster Benteng LD di Sabah.

Beliau berkata terdapat 21 kes telah pulih daripada virus itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,075 kes iaitu 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda