
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
PENANTI, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Program Mai Sembang Teh Tarik Corner bersama komuniti setempat memainkan peranan dalam mendapatkan maklumat secara menyeluruh berkaitan masalah penyalaggunaan dadah selain dari pencegahan dan rawatan pemulihan di dalam komuniti.
Dengan mengetengahkan slogan “Kami Bertindak, Komuniti Membantu,” ianya menunjukkan komitmen yang diberikan oleh komuniti dalam bersama-sama membantu pihak kerajaan bagi mengawal serta membanteras masalah penyalahgunaan dadah khususnya di dalam komuniti setempat.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, pihak kerajaan tidak boleh bertindak sendirian dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk membanteras penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama, bantuan dan komitmen padu dari agensi-agensi lain dapat membantu meringankan masalah yang menjadi isu utama negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjawab soalan-soalan yang telah diutarakan oleh peserta yang hadir, iaitu mereka yang bergiat aktif dalam Persatuan Belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Seorang peserta, Adib Anas yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah berkata, Majlis Belia Pulau Pinang sentiasa menyokong pelaksanaan program anjuran pihak AADK dalam misi menangani gejala najis dadah.

Soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh peserta Program, Adib Anas, Pengerusi Majlis Belia Daerah SPT.
“Hakikatnya, dalam merencana program-program untuk belia setempat, penglibatan AADK sentiasa menjadi pilihan demi membawa peranan belia dalam mengatasi isu ini” katanya.
“Saya sarankan pihak kerajaan memperbanyakkan tempat rekreasi dalam membawa minat dan tumpuan belia khususnya yang bermasalah ke ruang dan situasi yang lebih positif,” katanya.
Turut hadir, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Norlela Ariffin, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah dan Pengarah AADK Pulau Pinang Elmariah Chung.
-ii-