Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Merdeka@Komuniti Kampung Santan Utara Dalam Norma Baharu

By 7 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Muhamad Zikri Wan Khamis /Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 7 Sept (Malaysiaaktif)  – Merdeka@Komuniti merupakan platform terbaik dalam memberi peluang dan ruang kepada masyarakat setempat untuk menghayati dan meluahkan rasa cinta dan kasih kepada negara walaupun pada tahun ini sambutannya berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurut EXCO Kerajaan Negeri Azizan Sulaiman, masyarakat diseru agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu kerajaan dalam menangani wabak ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan Sanglang perlu dijadikan iktibar kepada kita semua agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan mencuci tangan sekerap mungkin terutama apabila menyentuh sebarang permukaan,” katanya ketika merasmikan Merdeka@Komuniti Kampung Santan Utara, di sini baru-baru ini.

Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Santan Amir Wahidi Wahab, berkata program Merdeka@Komuniti yang julung kali diadakan ini mampu menggelorakan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2020.

“Syukur alhamdulillah, program ini mendapat kerjasama yang baik dari pihak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Santan Utara,” ujarnya.

Pelbagai pengisian program telah diadakan seperti perarakan membawa Jalur Gemilang oleh para pelajar Tadika PASTI dan Tadika Islam Santan, pertandingan mewarna, pakaian beragam, gerek berhias, gubahan pulut, ziarah kasih veteran kemerdekaan dan perarakan yang melibatkan peserta berbasikal, bermotosikal dan kenderaan Jabatan Penerangan Negeri Perlis bagi menyuburkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Tengku Suleiman Mohd Faris Mohd Firdaus, 13, berkata beliau berasa sangat bersemangat dan teruja ketika menghiaskan basikalnya dengan Jalur Gemilang untuk menyertai pertandingan gerek berhias.

“Bapa saudara banyak meluangkan masa membantu saya menghias basikal kesayangan dengan Jalur Gemilang menggunakan cara yang cukup kreatif bagi menyatakan semangat patriotisme pada negara.

“Bagi saya, dengan menyertai pertandingan ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat meningkatkan semangat patriotik dalam diri tetapi juga ia dapat menyemarakkan lagi rasa cinta pada tanah air tercinta,” ujarnya.

Ruzaini Mahmud@Abdul Rahim, 54, ketika ditemui memaklumkan bahawa persiapan untuk menyertai pertandingan gubahan pulut ini dibuat bersama anak-anak beliau.

“Saya tidak menyangka hasil gubahan pulut kami yang bertemakan Jalur Gemilang mampu memikat hati para juri sehingga kami diumumkan sebagai johan untuk pertandingan ini.

“Walaupun pertandingan ini diadakan dalam suasana norma baharu namun ia mendapat sambutan yang menggalakkan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama serta berjaya membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuk di sini,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda