
Laporan/foto : Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Seiring dengan kemajuan teknologi dan usaha menangani penularan wabak COVID-19, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian telah diperkenalkan menerusi portal banci dan aplikasi mudah alih, walaubagaimanapun bancian secara bersemuka tetap dilaksanakan bagi memastikan maklumat yang dikumpul meliputi semua lapisan penduduk.
Selaras dengan hasrat ini, Jabatan Perangkaan Negeri Sembilan telah mengadakan Taklimat Berpusat Penyelia Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2020 bagi memperkasakan petugas yang akan melaksanakan bancian dengan menggunakan kaedah bersemuka.
Menurut Pembantu Perangkaan, Muzzamri Mustafa Kamal, taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan berkaitan bidang tugas serta tatacara penggunaan sistem aplikasi yang akan digunakan oleh penyelia dan pembanci.
“Mereka yang terlibat turut didedahkan dengan kaedah bancian secara bersemuka dan cara menjawab soalan-soalan yang berkemungkinan akan ditanya oleh penduduk semasa perlaksanaan bancian,” katanya.
Bagi daerah Seremban, taklimat tersebut telah diadakan selama 5 hari bermula 21 September 2020 hingga 25 September 2020 di dua lokasi yang berasingan iaitu di Dewan Tun Hussein Onn, Kolej Mara Seremban dan Dewan Serbaguna, Majlis Bandaraya Seremban yang melibatkan 517 orang termasuk petugas penolong pesuruhjaya, petugas pegawai daerah, penyelia dan kakitangan Jabatan Perangkaan Negeri Sembilan.
Fasa satu Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dengan menggunakan sistem dalam talian telah bermula sejak 7 Julai dan akan berakhir 30 September 2020, manakala fasa dua dengan pendekatan bersemuka akan bermula pada 7 Oktober hingga 24 Oktober.
-AK