Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Kes Baharu Kembali Lonjak kepada Tiga Angka

By 26 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 kembali melonjak kepada tiga angka pada 111 kes, melibatkan 107 kes penularan tempatan serta empat kes import dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul wabak tersebut berjumlah 10,687 dengan 133 kematian.

Katanya, kes penularan tempatan melibatkan 76 rakyat Malaysia dan 31 warga asing, dan Sabah masih menjadi penyumbang kepada majoriti kes iaitu sebanyak 97 berbanding 63 kes dilaporkan kelmarin.

“Daripada 97 kes yang berlaku di Sabah, 74 kes daripada kluster Bangau-Bangau, 13 kes daripada Kluster Benteng LD, dua kes daripada Kluster Laut, dua kes saringan rujukan ke hospital, dua kes saringan di tempat kerja, dua kes saringan bergejala, satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tawau dan satu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa.

“Sepuluh lagi kes penularan tempatan melibatkan lapan kes di Kedah, iaitu tujuh daripada Kluster Sungai dan satu kes SARI di Hospital Sultanah Bahiyah, manakala Pahang dan Selangor masing-masing mencatatkan satu kes saringan bergejala mempunyai sejarah pulang dari Semporna dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 30 kes telah pulih manakala empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan dan tiada kematian dilaporkan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengingatkan individu bergejala yang baharu mengunjungi atau datang dari zon merah, wajib melakukan ujian saringan COVID-19 manakala individu tidak bergejala yang baharu mengunjungi atau datang dari zon merah digalakkan melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri.

“Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya.

Sehingga hari ini, terdapat lima kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah iaitu empat zon merah di Sabah (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna) dan satu zon merah di Kedah (Kota Setar).

Dr Noor Hisham menggesa semua masyarakat di Sabah agar lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk ketika tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sabah dan semasa hari mengundi.

“Masyarakat sangat digalakkan untuk saling bertegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita daripada jangkitan COVID-19.

“KKM menggalakkan masyarakat untuk keluar mengundi namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di pusat mengundi dan amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda