
Foto: FB Zahidi Zainul Abidin
PUTRAJAYA, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Peningkatan taraf infrastruktur jalur lebar di negara ini diharap mampu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata ia akan memberikan manfaat kepada usahawan bumiputera untuk memulakan perniagaan secara dalam talian di rumah tanpa perlu memikirkan bebanan untuk membeli atau menyewa premis bagi perniagaan mereka.
“Kawasan liputan jalur lebar penting bagi membolehkan masyarakat luar bandar turut sama terlibat dalam ekonomi digital,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Usahawan Digital bersama Telekom Malaysia Berhad di Dewan KEMAS Alor Tampang, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri Rozieana Ahmad dan Ketua Wilayah Utara Telekom Malaysia Berhad Datuk Rozlan Mohamed.
Zahidi berkata kerajaan sedang berusaha menaik taraf mutu capaian jalur lebar di luar bandar dan beberapa cadangan sedang diperhalusi agar masyarakat di kawasan itu dapat memasarkan produk mereka ke pasaran global menerusi platform digital.
Selain itu, katanya usahawan juga perlu dibekalkan pengetahuan secukupnya agar mereka mampu bersaing dan bertahan lama di peringkat antarabangsa.
“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi lain termasuk program bersama Telekom Malaysia Berhad hari ini bagi memberi pengetahuan kepada peniaga bagaimana untuk menguruskan perniagaan dan kewangan mereka secara dalam talian,” katanya.
— BERNAMA