
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menyasarkan 10,000 kilometer (km) laluan dibina menerusi Projek Pembinaan Denai Sungai Nasional (National River Trails) di seluruh negara.
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata pembinaan denai sungai itu merupakan langkah terbaik bagi mengatasi masalah pencemaran sisa di sungai melalui kaedah pengawalan pencemaran di punca (control at source).
“Pembinaan denai di kawasan rizab sungai adalah antara kaedah yang berupaya mengawal pencemaran sungai melalui pembabitan berterusan oleh komuniti setempat.
“Pembabitan komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat juga secara tidak langsung dapat memupuk serta meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan sungai dan alam sekitar.

Dr Zaini memaklumkan KASA menyasarkan 10,000 km laluan denai dibina di seluruh negara menjelang tahun 2030.
“Bagi projek ini, KASA menyasarkan untuk membina laluan sepanjang 10,000 kilometer menerusi projek terbabit di seluruh negara menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program Gotong Royong @Sungai Gong Rawang bagi membina denai sepanjang 1.4 km di tebing Sungai Gong bersama kakitangan KASA dan agensi-agensinya, di sini hari ini.
Katanya, projek denai adalah langkah paling cepat dapat disiapkan iaitu dalam tempoh sehari berbanding langkah-langkah lain.
“Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah penyelidikan kualiti air sungai, pendidikan sungai, penanaman pokok dan penyediaan landskap secara ‘nature based material’ bagi menjaga keindahan dan kelestarian sungai.
“Komuniti dan masyarakat setempat perlu memainkan peranan serta dipertanggung jawab untuk mewujudkan aktiviti apresiasi alam sekitar di kawasan penempatan masing-masing bagi bekerjasama dengan pihak kerajaan memelihara sumber air,” katanya.
-SH