Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jahitan Tulang Belut Warisan Negeri yang Tidak Ternilai

By 6 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Kartina Saruni (Tangkak)

TANGKAK, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Sejarah kewujudan baju kurung atau baju Melayu adalah sukar untuk ditentukan siapa yang mula-mula menghasilkan atau memakai busana berkenaan, namun dipercayai busana yang ada ketika ini berasal dari Johor iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura pada tahun 1800.

Pegawai Tadbir Tanah Daerah Tangkak Norrizam Muhammad, berkata budaya dan kesenian berkaitan busana tradisional ini perlu dipergiatkan agar lebih ramai generasi baharu menyertai dan mengetahui tentang keunikan busana ini khususnya bagi anak jati Johor.

“Sejarah telah menyatakan keunikan identiti baju kurung orang Johor yang tidak ada pada busana-busana negeri-negeri lain.

WhatsApp Image 2020-10-06 at 10.26.29

Antara peserta yang terlibat dalam Pertandingan Pemilihan Jahitan Tulang Belut Peringkat Daerah Tangkak.

“Saya berharap dengan adanya bengkel jahitan tulang belut ini lebih ramai yang akan mendapat ilmu berkaitan dengan jahitan tulang belut ini dan sentiasa dipraktikkan kesenian ini agar ia tidak lenyap ditelan zaman,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Pemilihan Jahitan Tulang Belut Peringkat Daerah Tangkak 2020, baru-baru ini.

Menurut Norrizam, masyarakat Johor ketika itu telah mula mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit ‘tulang belut’ dan ‘sembat halus’ pada seluruh baju kurung supaya kelihatan lebih kemas dan menarik.

“Pakaian bercirikan leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan, pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang manakala rumah kancingnya pula dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.

“Dalam kalangan masayarakat wanita, mereka kebiasaannya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai dan dipadankan dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’, manakala bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta kain samping dagang. Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang johor.

“Generasi hari ini dilihat kurang penghayatan terhadap kesenian ini apatah lagi untuk mempraktikkannya, mungkin kerana seni ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan hanya dapat di realisasikan dengan latihan yang banyak dan minat yang mendalam agar budaya ini tidak lenyap ditelan zaman,” katanya.

Program ini merupakan kesinambungan bengkel jahitan tulang belut yang telah diadakan pada tahun lalu bertujuan mencari peserta yang akan mewakili daerah sini ke pertandingan tersebut bagi peringkat negeri Johor.

-SH

Tinggalkan komen anda