Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kapal LMS Ketiga TLDM Akan Jalani Beberapa Siri Ujian Penerimaan

By 30 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Littoral Mission Ship (LMS) ketiga iaitu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalani fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan setelah selesai fasa Pembinaan dan diturunkan ke air di limbungan Wuchang Ship Building Industry Group Ltd (WSIG) di Wuhan, China pada 28 Okt lepas.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan memaklumkan kapal itu bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.

“Kapal LMS Ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD KERIS (LMS Pertama) dan SUNDANG (LMS Kedua), dan sebuah lagi kapal (LMS Keempat) dijangka akan dilancarkan pada November 2020.

“Bakal Warga Kapal (BWK) LMS Ketiga dijangka akan diatur gerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei 2021 di China,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan upacara rasmi penamaan LMS Ketiga ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal itu yang dijadualkan pada September 2021 disebabkan penularan COVID-19.

Sehubungan itu, bagi penyerahan SUNDANG (LMS Kedua) yang dijadualkan pada 12 April 2020 turut terjejas susulan pandemik COVID-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan apabila BWK SUNDANG selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda