
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak memaklumkan pihaknya menamatkan Sekatan Jalan Raya (SJR) serta membuka semula jalan yang ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata tindakan diambil bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Ia juga untuk mengatur gerak semula keangotaan bagi tujuan pemantauan pematuhan PKPB di kawasan-kawasan tumpuan ramai seperti pasaraya, pasar awam, pusat-pusat komersil dan aktiviti riadah.
“IPD Gombak menamatkan enam SJR dan pembukaan semula tiga jalan yang ditutup seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun, menurut Arifai, dua lokasi baru SJR telah diadakan iaitu sebelum Plaza Tol Gombak dari arah Bentong menghala ke Gombak dan selepas Plaza Tol Rawang dari arah Sungai Buloh menghala ke Rawang.
“Penamatan dan penempatan SJR yang baru serta pembukaan semula jalan berkuat kuasa pada pukul 12.01 malam 15 Oktober (Khamis).
“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidak patuhan.
“Sebarang pertanyaan atau aduan, sila hubungi Hotline COVID-19 Polis Gombak di talian 03-61262240 atau 03-61262247,” katanya.
-NAZ