Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Polis Tahan 10 Individu Sertai Parti Liar

By 24 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 10 individu termasuk lima wanita yang menghadiri parti liar ditahan, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ara Damansara, Petaling Jaya malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua individu berusia 27 hingga 45 tahun yang ditahan dalam serbuan 9.50 malam itu juga, dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian.

“Kita telah merampas peralatan seperti karpet, kad, cip dan dadu yang digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya turut menemui satu tiub straw yang disyaki berisi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 0.5 gram, serta empat botol yang mengandungi cecair disyaki jus bercampur dadah yang disimpan di dalam almari rumah berkenaan.

Nik Ezanee berkata hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Beliau berkata kesemua suspek itu ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda