
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN 22 Okt (Malaysiaaktif) – Siapa sangka persimpangan lampu isyarat di sekitar Bandar Chukai, Kemaman ini menjadi tempat segelintir pemuda mencari rezeki dengan menjual beberapa jenis makanan di dalam balang seperti mangga asam boi, jambu asam boi dan lain-lain.
Walaupun terpaksa berpanas dan berhujan selain bergadai nyawa berdepan risiko dilanggar kenderaan namun ianya tidak mematahkan semangat anak-anak muda ini untuk mencari rezeki yang halal.

Cuaca panas terik tidak menghalang anak muda ini mencari rezeki sebagai penjaja di persimpangan lampu isyarat.
Bagi Mohd Nurhilmi Sazali, 25, berkata risiko untuk dilanggar kenderaan memang ada namun beliau dan rakan-rakan lain sentiasa berwaspada semasa menjaja.
“Kami hanya bergerak ke kenderaan yang berhenti jika lampu isyarat bertukar kepada warna merah dan akan kembali ke pembahagi jalan setelah lampu isyarat bertukar warna hijau dan kami juga dilindungi insuran yang dibeli oleh majikan kami,” katanya.
Beliau berkata, seawal pukul 8.00 pagi beliau dan rakan-rakan mula menjaja dan selesai sekitar pukul 5.00 petang. Tambah beliau, panas mentari dan hujan dianggap sebagai cabaran dalam mencari rezeki dan sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.

Mohd Nurhilmi Sazali menganggap panas mentari dan hujan sebagai cabaran untuk mencari rezeki dan telah kalis dengan keadaan tersebut.
“Purata sehari upah saya adalah sebanyak RM120 bersamaan Rm2 bagi satu balang jualan, ini agak tinggi berbanding pekerjaan lain.
“Pekerjaan saya dan rakan-rakan ini tidak memerlukan kelayakan seperti kerja-kerja lain,” ujarnya lagi menutup bicara ketika ditemui semasa menjaja di persimpangan lampu isyarat di dalam Bandar Chukai, Kemaman.
Mohd Syawal Zakaria, 36 antara pembeli yang ditemui nyata berpuas hati dengan makanan yang dijual oleh penjaja di sekitar Bandar Chukai.
“Saya kerap juga membeli barangan jualan mereka ini dan berasa amat berpuas hati dengan harga dan rasanya memang sedap.”

Mohd Syawal Zakaria, pembeli sarankan pengguna jalan raya turut sama membeli barangan jualan penjaja di persimpangan lampu isyarat sebagai tanda sokongan usaha murni penjaja-penjaja ini mencari rezeki.
“Saya sarankan agar pengguna jalan raya di sini turut sama membeli barangan jualan mereka sebagai tanda sokongan usaha murni penjaja-penjaja ini mencari rezeki,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Negeri Terengganu telah melarang sebarang aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat namun syarat tersebut telah dilonggarkan setelah kerajaan persekutuan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 mula tersebar di Malaysia sekitar awal tahun ini.
Kerajaan negeri telah membenarkan kembali aktiviti menjaja untuk memberi peluang rakyat di negeri ini mencari rezeki dengan cara mereka sendiri dengan syarat setiap penjaja telah diambil insuran kemalangan.
-ii-