Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kembali melonjak kepada 847 kes selepas mencatat penurunan semalam selain turut merekodkan lima lagi kematian baharu dan 486 kes pulih.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan dalam tempoh 24 jam lepas itu menjadikan angka terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 23,804 kes dengan kes aktif sebanyak 8,183 kes.
Menurutnya, daripada 847 kes baharu, terdapat lima kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan di Selangor yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara iaitu empat kes dari India dan satu kes dari Amerika Syarikat.
“Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 578 kes (68.2 peratus). Ini adalah hasil usaha gigih yang dijalankan di negeri Sabah, yang lebih banyak petugas kesihatan telah dimobilisasikan daripada Semenanjung dan juga dari dalaman negeri Sabah untuk terus menjalankan saringan di lapangan.
“Bagi negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Daripada 164 kes baharu, 71 kes (43.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.
Memperincikan jumlah kes di negeri lain, beliau berkata Selangor mencatat 132 kes, Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan Labuan (29), Kuala Lumpur (23), Perak (14), Pulau Pinang (10), Putrajaya (empat), Kedah, Melaka dan Kelantan masing-masing tiga kes, Pahang (dua) manakala Terengganu, Johor dan Sarawak masing-masing satu kes.
“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
— BERNAMA