Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Agong Zahir Penghargaan Ahli Parlimen Sokong Lulus Belanjawan

By 27 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam berkata langkah Ahli Parlimen mendukung titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 28 Okt lepas untuk memberi sokongan kepada belanjawan itu, penting demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong bertitah, selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, belanjawan itu juga amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung, selain menangani ancaman wabak COVID-19,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini dan menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

Ahmad Fadil berkata sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” katanya.

Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar semalam.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan seramai 82 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda