
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sharul Effandi Yusof (Sik)
SIK, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Setelah hampir lapan bulan tidak beroperasi berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik COVID-19, sesi pembelajaran yang membabitkan pelatih-pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Sik, dimulakan semula bermula semalam.
Menurut Penyelia PPDK Sik, Sharifah Mohd Daud, persiapan rapi telah dijalankan oleh pihak PPDK serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum pengoperasian semula PPDK bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.
“Ini termasuklah memaklumkan garis panduan SOP pembukaan PPDK kepada ibu bapa pelatih sebelum kembali menghantar anak ke PPDK.
“Pelatih-pelatih adalah daripada golongan berisiko tinggi jadi kami perlu pastikan garis panduan SOP dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Sharifah turut menambah, sistem penggiliran waktu pembelajaran dan pengajaran turut dipraktikkan bagi mengelakkan kesesakan ruang serta mengelakkan pelatih daripada berkongsi peralatan.
“Selain daripada itu, sebagai langkah keselamatan, hanya PDK yang berada dalam Zon Hijau COVID-19 sahaja dibenarkan beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu, tiga lagi PPDK di daerah ini turut kembali beroperasi iaitu PPDK Gulau, PPDK Jeneri dan PPDK Al Nur Jannah, Felda Teloi Timur.
-SH