
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Walaupun negara sedang bergelut dengan kesan penularan pandemik COVID-19, produk tempatan mencatat peningkatan nilai jualan sehingga 1.8 peratus bagi tempoh Julai hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pada suku ketiga tahun ini, nilai jualan produk tempatan yang direkodkan berjumlah RM1.621 bilion berbanding RM1.592 bilion dalam tempoh sama pada 2019, iaitu peningkatan lebih RM28 juta.
“Peningkatan ini adalah satu petanda baik bagi sektor peruncitan di negara ini memandangkan negara kita masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Ariffin (UMNO-Rompin) yang ingin tahu apakah mekanisme digunakan kerajaan bagi mengukur keberkesanan KBBM untuk membantu menggerakkan ekonomi yang terkesan susulan pandemik COVID-19.
Mengulas lanjut, Nanta berkata keberkesanan KBBM secara khususnya diukur berdasarkan kepada mekanisme pelaporan jumlah nilai jualan dalam sektor peruncitan di negara ini, termasuk pasar raya, pasar raya besar asing dan tempatan, kedai serbaneka serta platform pasaran dalam talian yang terlibat dalam kempen itu.
“Selain itu, mekanisme pengukuran juga mengambil kira jumlah penonton media berdasarkan promosi-promosi KBBM melalui semua platform media di negara ini meliputi pelbagai rangkaian, terdiri daripada media cetak, media elektronik serta media sosial yang dilaksanakan sepanjang tahun 2020,” katanya.
Bagi inisiatif promosi dan pelan media untuk mempromosikan KBBM secara menyeluruh, beliau berkata kementerian berjaya mencapai objektif yang disasarkan dengan jumlah capaian kumulatif melebihi 14,753,101 penonton atau pendengar bagi semua medium meliputi media cetak, media elektronik, media sosial dan media baharu yang melibatkan hampir semua pemilik media utama di negara ini.
Justeru, katanya inisiatif KBBM yang dijalankan oleh kerajaan pada masa ini begitu penting dan mampu menggerakkan semula permintaan domestik dan memulihkan sektor peruncitan khususnya dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan COVID-19.
— BERNAMA