
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA NERUS, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Rata-rata penjaja dan peniaga kecil di Pasar Batu 6, Kuala Nerus menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan dengan lebih awal iaitu pada 21 November.
Tinjauan suasana di Pasar Awam Batu 6, di sini mula hiruk-pikuk dengan suara pengunjung dan bunyi kenderaan yang mula memenuhi pasar awam berkenaan seawal pukul 6.00 pagi.
Peniaga keropok segera, Ramida A. Bakar, 52, berkata beliau berasa lega dan bersyukur apabila kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, sepanjang pelaksanaan PKPB yang bermula sejak 9 November lalu, penguatkuasaan berkenaan telah menjejaskan sedikit jualan harian dan pendapatan para peniaga di situ.
“Sejak PKPB dilaksanakan dua minggu lepas, hasil pendapatan sedikit terjejas kerana waktu operasi pasar ditutup lebih awal iaitu pada pukul 2.00 petang dan orang awam juga tidak ramai keluar ke pasar untuk membeli barangan keperluan harian kerana penguatkuasaan PKPB.
“Saya bersyukur apabila PKPB ditamatkan lebih awal, diharapkan orang ramai akan berkunjung ke pasar ini sekaligus lebih banyak permintaan untuk mendapatkan keropok kering dan meningkatkan hasil jualan harian,” katanya ketika ditemui di pasar tersebut.
Bagi peniaga kuih, Surliza Mohd, 48, berkata sepanjang penguatkuasaan PKPB di Terengganu, beliau memahami langkah pelaksanaan PKPB dan menganggapnya sebagai pengorbanan serta tanggungjawab kepada kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
“Dari segi pendapatan, memang ia menjejaskan peniaga terutama peniaga kecil seperti kami yang menjual kuih-muih yang tidak boleh disimpan dalam tempoh yang lama dan waktu operasi pasar ketika PKPB yang agak singkat menyukarkan untuk menjual dengan kuantiti yang banyak.
“Dengan tamatkan PKPB lebih awal, kami terharu dan berterima kasih kerana dapat berniaga dengan lebih lama berbanding sebelum ini, dan boleh mengumpul semula modal perniagaan meskipun belum memperolehi keuntungan,” katanya.

Penolong Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Saharrudin Mohamed mengedarkan risalah, poster , bahan-bahan penerbitan dan lain-lain kepada para peniaga Pasar Awam Batu 6, Kuala Nerus.
Sementara itu, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Nerus komited membuat hebahan menggunakan kenderaan unit bergerak ke kawasan tumpuan seperti premis perniagaan, kawasan perumahan, kampung-kampung, penempatan Orang Asli serta lokasi tumpuan masyarakat termasuk pasar awam.
Menurut Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Saharrudin Mohamed, selain hebahan, edaran bahan-bahan penerbitan seperti poster, risalah dan maklumat isu-isu semasa diberikan kepada para peniaga di sekitar pasar berkenaan untuk memastikan setiap peniaga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya wabak COVID-19 tidak merebak di kawasan perniagaan mereka.
“Rata-rata peniaga di sini memahami dan begitu komited memastikan agar tidak mengabaikan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk menyediakan cecair pembasmi kuman dan memastikan para pelanggan pasar memakai pelitup muka ketika melakukan urusan jual beli,” katanya.

Para Peniaga memahami dan komited mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam menangani COVID-19.
-II