
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – 200 pemandu teksi, e-hailing dan bas di sini menerima kit penjagaan kendiri bersempena dengan sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia yang disambut seluruh negara semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi, kit penjagaan kendiri itu diedarkan oleh para sukarelawan belia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Labuan dan Majlis Belia Labuan.
“Pemandu-pemandu teksi teksi, e-hailing dan bas adalah salah satu barisan hadapan dalam usaha kita amalkan norma baharu bagi mencegah COVID-19, kita juga edarkan buku norma baharu yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia untuk mereka memahami norma baharu yang disarankan oleh pihak kerajaan,” katanya semasa ditemui pada program itu semalam.
Selain edaran kit penjagaan kendiri, Mahanum memaklumkan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia turut diisi dengan program khidmat komuniti di Kolej Matrikulasi Labuan (KML).
“Aktiviti gotong-royong itu antaranya mengecat Blok Dewan Kuliah dan Pusat Sumber KML di samping berinteraksi dan memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar KML,” katanya.

Mahanum (tengah, berbaju hitam) bergambar kenangan setelah menyampaikan kit penjagaan kendiri kepada pemandu teksi di Lapangan Terbang Labuan.
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Roslan Abdullah, menyatakan penghargaan atas pemberian kit penjagaan kendiri itu.
“Saya ucapkan terima kasih atas program yang dilaksanakan hari ini kerana ia membantu meringankan beban kami yang dirasai akibat penularan COVID-19, bantuan ini juga memudahkan kami melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama ketika membawa penumpang,” jelasnya.
Seorang lagi pemandu teksi, Jainuddin Ahiluddin, berkata akan memberi jaminan bahawa pemandu teksi di Labuan akan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Saya mewakili rakan-rakan pemandu teksi akan menjamin sentiasa menjaga SOP dan mengamalkan norma baharu tambahan pula pada hari ini kami merasa gembira diberikan kit penjagaan kendiri seperti pelitup muka dan pencuci tangan,” kongsinya.
Hadir sama pada program itu Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Abdul Aziz Mohd Salleh dan Presiden Majlis Belia Labuan Abdul Mutalib Sahari.
-SH