Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Amaran Cuaca Waspada, Hujan Lebat di Beberapa Negeri

By 30 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri, bermula hari ini hingga 2 Januari ini.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan hari ini berkata amaran peringkat kuning di Sabah akan melibatkan kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat (Kota Marudu) serta Labuan, berkuat kuasa hari ini sehingga Khamis ini.

Beliau berkata amaran sama turut dikeluarkan di Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) mulai Khamis hingga Sabtu ini selain di Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu) dari Jumaat sehingga Sabtu ini.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah.

“Kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam sekali gus berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dalam tempoh berkenaan dan keadaan itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda