
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan telah memeterai perjanjian perolehan bekalan vaksin COVID-19 yang meliputi sebanyak 82.8 peratus populasi rakyat negara ini.
Khairy menjelaskan, setakat ini kerajaan telah membuat pembelian vaksin COVID-19 dengan melibatkan kos sebanyak RM2.05 bilion melibatkan 26.5 juta rakyat.
“Melalui vasiliti Covax, kerajaan bersetuju mendapatkan sebanyak 6.4 juta dos yang meliputi 10 peratus populasi Malaysia disebabkan vaksin yang digunakan ini adalah jenis dua dos, seterusnya melalui Syarikat Pfizer dengan 12.8 juta dos (20% populasi) dan dengan Syarikat AstraZeneca yang melibatkan 10 peratus populasi.
“Jumlah pembelian melalui tiga syarikat ini meliputi 40 peratus populasi rakyat Malaysia, dan ini akan ditambah dengan perolehan daripada tiga lagi syarikat yang masih dalam proses rundingan akhir iaitu Syarikat Sinovac dan CanSinoBIO (China) dan Institut Gamaleya Rusia untuk vaksin Sputnik V dengan jumlah perolehan sebanyak 42.8% melalui perjanjian tambahan,” katanya semasa sidang media perolehan vaksin COVID-19, di sini hari ini.
Menurut Khairy, setakat ini kerajaan memberi komitmen untuk belanja sebanyak RM2.05 bilion melibatkan keseluruhan perjanjian dengan keenam-enam syarikat tersebut dan menyatakan jumlah RM3 bilion yang diumumkan sebelum ini merupakan anggaran kasar perolehan vaksin tersebut bagi negara.
“Jumlah RM3 bilion itu adalah anggaran yang diberikan oleh Menteri Kewangan apabila jemaah menteri mengarahkan saya untuk membuat rundingan, sudah pasti saya perlu ada anggaran dan saya telah memohon kepada Menteri Kewangan satu anggaran harga yang ada ketika itu.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, negara memerlukan kira-kira sebanyak RM3 bilion untuk meliputi 70 peratus populasi rakyat dan sukacita saya maklumkan bahawa kita telah dapat liputan 82.8 peratus dengan harga RM2.05 bilion.
“Sekiranya kita perlu tambah lagi bekalan vaksin tersebut kos maksimum RM3 bilion tersebut akan digunakan sebagai jaminan kepada vaksin yang selamat dan berkesan,” katanya.
Rakaman penuh siaran media tersebut boleh didapati di Youtube Jabatan Penerangan Malaysia https://www.youtube.com/watch?v=DyBcWYtPMMQ
-SH