Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Sedia Beri Sokongan Angkat Industri Nasyid Negara ke Peringkat Lebih Tinggi – Saifuddin

By 24 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia

PUTRAJAYA, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan sedia memberi komitmen dan sokongan dalam mengangkat lagi industri nasyid negara ke peringkat lebih tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Malah, beliau mencadangkan agar satu anugerah nasyid peringkat antarabangsa dianjurkan negara dalam mengetengahkan industri nasyid negara di persada dunia.

“Kita juga berhasrat mulai tahun hadapan kita nak anjurkan Anugerah Nasyid Malaysia peringkat antarabangsa. Mungkin pada peringkat awal tak mampu buat setiap tahun, mungkin dua tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi hos kepada program Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama panel jemputan iaitu Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid) Muhamad Razin Che Mud dan penyanyi Heliza Helmi serta Hazwani Helmi yang disiarkan secara langsung di TV1, BernamaTV dan Facebook rasmi KKMM.

Program berkenaan malam tadi membincangkan hala tuju industri nasyid kontemporari Malaysia dan mengenai Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) yang julung kali akan diadakan Ahad ini.

Mengenai ANAM 2020 Ahad ini yang akan disiarkan menerusi saluran TV1, Saifuddin turut berharap ia akan dapat dianjurkan setiap tahun.

Dianjurkan dengan kerjasama KKMM dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Saifuddin melahirkan harapan agar penganjurannya selepas ini akan turut mendapat bantuan dan sokongan pihak swasta.

“Untuk kali pertama ini biarlah kerajaan ke depan dulu,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda