Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kolaborasi JPNIN dan Kolej Komuniti Siapkan Lebih Dua Ribu PPE

By 24 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Mohd Ariff Khalid (Baling)

BALING, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Baling/Sik dan Kolej Komuniti Baling, Sungai Petani, Jerai dan Arau berjaya menyiapkan sebanyak 2160 pasang peralatan perlindungan diri (PPE) untuk fasa pertama.

Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah Rohai Zahar Nedi, berkata jaringan kerjasama di antara 48 KRT Baling/Sik dengan Kolej Komuniti dalam penyediaan PPE ini amat baik dalam usaha membantu barisan hadapan khususnya kepada pihak kesihatan dalam menghadapi COVID-19.

“Saya amat berbangga dengan usaha pihak KRT Baling/Sik yang setiap hari, 20 orang akan hadir secara bergilir bersama-sama pensyarah dan bekas pelajar Kolej Komuniti Baling bagi membantu menyiapkan PPE ini,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Personal Protective Equipment (PPE) kepada Pejabat Kesihatan Baling dan Menandatangani Nota Kolaborasi Strategik di Kolej Komuniti Baling, di sini semalam.

Rohai Zahar (kiri) menandatangani Nota Kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti, di sini.

Rohai Zahar (kiri) menandatangani Nota Kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti, di sini.

Tambahnya, Peruntukan yang diperolehi daripada pihak kementerian ini dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Tanpa kerjasama daripada pihak Kolej Komuniti yang mempunyai banyak kemudahan usaha yang dilakukan ini tidak akan berjaya,” katanya.

Pengarah Kolej Komuniti Baling Sobah Abd Hamid, berkata beliau amat bersyukur kerana pihak JPNIN memilih Kolej Komuniti sebagai rakan koloberasi strategik khususnya dalam penghasilan PPE ini.

“Kami telah diamanahkan untuk menyiapkan sebanyak 6350 PPE dan hari ini untuk fasa pertama kita telah berjaya siapkan, hasil semangat kerjasama yang tinggi dari semua pihak,” katanya.

Antara ahli KRT Daerah Baling yang menyiapkan PPE.

Antara ahli KRT Daerah Baling yang menyiapkan PPE.

Sementara itu, peserta daripada KRT Pekan Baling B Tawoon Boon Seng, 60, berkata  penglibatan KRT ini dapat memberi pendedahan dan sumbangan kepada negara dalam bersama-sama melawan COVID-19.

“Ini adalah sumbangan kecil yang boleh kami semua berikan dalam membantu petugas kesihatan menghadapi COVID-19,” katanya.

Hadir sama, wakil Pegawai Kesihatan Daerah Baling Doktor Hazwan Naina Marican, Pegawai Perpaduan daerah Baling/Sik Arisyawati Alaudin dan Ketua Jabatan Keselamatan Jenayah Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Baling Baizura Md Ariff.

-SH

Tinggalkan komen anda