Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Padah Cuba Sogok Polis

By 14 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Polis menahan dua lelaki warga Indonesia selepas cuba menyogok anggota polis ketika ditahan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Rawang, semalam.

Kedua-duanya yang berusia 39 dan 50 tahun ditahan sepasukan anggota selepas melakukan pemeriksaan terhadap mereka yang menaiki motosikal Lagenda dalam keadaan mencurigakan pukul 7.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata semasa pihaknya cuba menghampiri suspek, mereka bertindak memecut laju ke arah Rawang namun berjaya memberhentikannya.

“Apabila diminta dokumen pengenalan diri, kedua-dua suspek gagal menunjukkan dokumen yang sah.

“Semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, mereka tiba-tiba mengeluarkan sejumlah wang dan cuba menyogok anggota polis bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota polis telah memberi amaran agar menyimpan wang berkenaan namun mereka tetap berdegil, malah bertindak mencampakkan wang tersebut ke dalam kereta peronda polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

“Memandangkan mereka tidak mengendahkan amaran itu, anggota polis terus menahan mereka atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan cuba memberi rasuah.

“Suspek direman 14 hari sehingga 25 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Akta Imigresen 1957/63,” katanya

-NAZ

Tinggalkan komen anda