Skip to main content
Berita TimurTerengganu

LKTN Cipta Sejarah Bina Bangunan daripada Kenaf

By 14 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

SETIU, 14 Dis. (Malaysiaaktif) – Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mencipta sejarah membina sebuah pejabat menggunakan bahan binaan berasaskan kenaf di Kampung Saujana, di sini.

Bangunan pejabat yang dibina dalam kawasan Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf dekat sini dianggarkan bernilai RM81,000 dengan keluasan 65 meter persegi dengan menggunakan 600 kilogram gentian kenaf.

Mohd Khairuddin (tengah) melihat bahan binaan yang dihasilkan daripada kenaf.

Mohd Khairuddin (tengah) melihat bahan binaan yang dihasilkan daripada kenaf.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bangunan pejabat yang dilengkapi dengan ruang pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas itu dibina dengan kerjasama Tasblock (M) Sdn. Bhd dan merupakan pembinaan berasaskan kenaf yang pertama di Terengganu.

“Pembinaan bangunan itu hanya mengambil masa selama 30 hari sahaja berbanding antara tiga dan empat bulan dengan menggunakan kaedah konvensional.

Bangunan pejabat yang dibina menggunakan kenaf masih dalam pembinaan.

Bangunan pejabat yang dibina menggunakan kenaf masih dalam pembinaan.

“Teknologi baharu itu juga mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan bangunan pejabat itu, kelmarin.

Pada lawatan itu, Mohd Khairuddin mendengar taklimat mengenai pembinaan itu dan melihat demonstrasi membina bangunan menggunakan blok gentian kenaf.

Mohd Khairuddin (kanan) memasang blok yang diperbuat daripada kenaf.

Mohd Khairuddin (kanan) memasang blok yang diperbuat daripada kenaf.

Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan oleh LKTN dengan pihak swasta adalah selaras dengan hasrat Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.

“KPPK melalui LKTN akan terus berusaha memberi perhatian dan usaha bagi melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri kenaf ini diperkasa dari semasa ke semasa.

“Apa yang penting, pihak kementerian akan memastikan keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dan sosio ekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk luar bandar,” tambahnya.

-ii-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda