Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Paluan Berundur Petugas Barisan Hadapan di PKPD Taman Meru 2C

By 6 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)/Muhammad Irfan Azman Tuah (Ipoh)

MERU, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Meru 2C (Zon B dan Zon C) yang dilaksanakan selama enam belas hari bagi kawalan kesihatan penularan wabak pandemik COVID-19 ditamatkan secara rasminya, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata pengunduran petugas atau dikenali sebagai paluan berundur ini adalah simbolik kepada berakhirnya PKPD di kawasan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Bukan itu saja, kerjasama daripada seluruh penduduk di Taman Meru 2C ini juga amat dihargai dan kejayaan mengharungi tempoh PKPD ini adalah kejayaan bersama,” ujar Meor Hezbullah yang juga Pegawai Daerah Kinta.

Penyerahan kain rentang PKTK daripada OCPD Ketua Polis Daerah Ipoh kepada Pegawai Daerah Kinta sebagai simbolik paluan berundur sempena penamatan PKPD di Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh.

Penyerahan kain rentang PKTK daripada OCPD Ketua Polis Daerah Ipoh kepada Pegawai Daerah Kinta sebagai simbolik paluan berundur sempena penamatan PKPD di Zon B dan C Taman Meru 2C, Ipoh.

Gimik penutupan PKPD Taman Meru 2C dijayakan dengan lipatan kain rentang Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) oleh wakil anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum penyerahan disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz selaku Komander Operasi kepada Pegawai Daerah Kinta.

Dalam acara sama, Meor Hezbullah turut mengajak hadirin untuk sama-sama memberikan tepukan hormat selama sepuluh saat sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain menyempurnakan pembukaan kon halangan bagi pintu keselamatan utama PKPD Taman Meru 2C.

Namun demikian, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa bagi Daerah Kinta sehingga 20 Disember 2020.

-SH

Tinggalkan komen anda