Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

PKPD Taman Pinji Mewah Zon B Tamat Bersasar

By 16 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Khairul Nazrie Mat Nayan (Kinta)

KINTA, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pinji Mewah Zon B berakhir dengan berlangsungnya upacara memotong gelang dan pemberian notis pelepasan kuarantin sebagai satu simbolik penamatan PKPD ini.

Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Kinta Nor Azam Ismail, PKPD ini belum tamat sepenuhnya kerana masih lagi bersasar kepada asrama pekerja kilang di kawasan itu.

“Oleh hal demikian, semangat daripada petugas barisan hadapan dalam menghadapi situasi ini amat diperlukan agar dapat mengekalkan prestasi yang sama seperti di Taman Meru 2C sebelum ini,” katanya ketika ditemui sempena majlis, di sini semalam.

Nor Azam turut memuji pengurusan sepanjang PKPD di Taman Pinji Mewah Zon B adalah lebih tersusun dan teratur ekoran kerjasama yang kuat dalam kalangan penduduk dan petugas barisan hadapan.

Pemotongan gelang kuarantin setelah tamat tempoh kuarantin.

Pemotongan gelang kuarantin setelah tamat tempoh kuarantin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Supritendan Lee Swee Sake, berkata program ini boleh dianggap sebagai satu sejarah kerana berjaya menamatkan PKPD di dua tempat iaitu Taman Pinji Mewah Zon B dan Taman Klebang Jaya Zon A.

“Ia merupakan satu kejayaan hasil daripada usaha sama dalam memutuskan rantaian COVID-19.

“Ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan diucapkan kepada seluruh penduduk di kawasan PKPD ini yang menunjukkan disiplin yang tinggi dan memberikan kerjasama penuh kepada semua petugas,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Masitah Othman, 50, meluahkan rasa gembira atas penamatan PKPD ini memandangkan terpaksa menghentikan banyak urusan bagi menjalani perintah kuarantin.

“Saya juga amat bersyukur kerana keputusan ujian pengesanan COVID-19 yang diambil adalah negatif,” katanya yang merupakan Guru Bahasa Inggeris di sini.

-SH

Tinggalkan komen anda