
Laporan/foto: Norliza Yusof/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Sejumlah 10,500 bantuan bakul makanan akan diagihkan sepanjang Februari ini kepada golongan terjejas pandemik COVID-19 sekitar Kota Kinabalu.
Mayor Dewan Bandar Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip, berkata bantuan disampaikan merangkumi tiga kategori penerima iaitu kategori e-Kasih, golongan B40 serta penduduk yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,700 bakul makanan telah diagihkan dengan bantuan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Bergantung kepada keperluan, DBKK turut sedia berkerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan proses tersebut,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin dan Bantuan Bakul Makanan COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini semalam.
Menurut Noorliza, penyerahan bantuan bakul makanan kategori e-Kasih dan golongan B40 itu diberikan kepada wakil bagi lapan kawasan iaitu Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru dan Kepayan manakala Bantuan Prihatin RM300 pembayaran secara sekali beri kategori penjaja diberikan kepada wakil dari Pasar Telipok, Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Manggatal, Pasar Tanjong Aru, Gerai Damai, Gerai Bukit Padang, Gerai Kepayan Yu Sang dan Gerai Anjung Perdana.
-SH