Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga Japen Diseru Bekerja Dengan Penuh Integriti, Pantas dan Profesional

By 19 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Warga Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) diseru untuk bekerja dengan penuh berintegriti, pelaksanaan yang pantas dan penuh profesionalisme.

Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid, ketiga-tiga nilai itu penting memandangkan kaedah penyampaian dilaksanakan dengan norma baharu selain program-program diberi pendekatan baharu dalam bentuk hybrid atau pun digital.

“Kepentingan untuk kita sentiasa hayati dan amalkan ketiga-tiga nilai ini, kerana kelangsungan Jabatan berpaksikan kepada ketiga-tiga nilai yang tiada penghujungnya,” katanya semasa menyampaikan amanat kepada warga JaPen di seluruh negara secara dalam talian, semalam.

Selain itu, beliau turut menyeru agar JaPen mengolah semula situasi kerja atau gerak kerja terdahulu menggunakan cara atau kaedah baharu selaras dengan perkembangan terkini dunia tanpa sempadan yang lebih berpaksikan kepada digital.

“Dalam zaman serba moden ini, penyampaian perkhidmatan kita haruslah berinovasi dan tidak berada pada takuk yang lama, amalan untuk membiarkan masyarakat yang harus berusaha datang mencari dan mendapatkan bantuan, tidak lagi menjadi satu-satunya pendekatan.

“Sebaliknya, perkhidmatan yang berbentuk turun padang, untuk kempen kesedaran, mencari orang yang memerlukan dan menghulurkan bantuan kepada mereka merupakan satu bentuk alternatif penyampaian perkhidmatan yang lebih praktikal dan berkesan kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, JaPen perlu menjadi organisasi yang dapat melihat dan membuat jangkaan tentang perubahan yang berlaku pada masa hadapan.

Warga JaPen Labuan menyaksikan Sesi Amanat Ketua Pengarah JaPen, di sini.

Warga JaPen Labuan menyaksikan Sesi Amanat Ketua Pengarah JaPen, di sini.

“Kita perlu melihat dan memahami perubahan yang berlaku, yang melibatkan pelanggan utama kita, perubahan demografi serta perubahan lain seperti teknologi, akan menghasilkan suatu era baharu kepada perkhidmatan awam.

“Banyak kelemahan yang dikenal pasti akibat penularan wabak COVID-19, ini adalah peluang untuk kita melaksanakan perkhidmatan kerajaan melalui dalam talian, keupayaan kita dilihat daripada bagaimana kita berubah dengan persekitaran semasa,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah JaPen Labuan Abdul Aziz Mohd Salleh, berkata warga JaPen perlu menyahut seruan Ketua Pengarah mereka agar jabatan itu kekal relevan sebagai agensi penyampai maklumat kepada rakyat.

“Kepesatan teknologi maklumat serta pandemik COVID-19 menuntut JaPen dan warganya pantas menyesuaikan diri serta sentiasa bersifat responsif agar segala program yang dilaksanakan mendatangkan impak yang diharapkan.

“Seruan agar JaPen lebih peka dengan keadaan semasa amat bertepatan kerana JaPen bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi turut berperanan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan,” jelasnya.

Bagi seorang Pembantu Penerangan JaPen Labuan Rodey Roy Juhalin, amanat tersebut membakar semangatnya untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jabatan.

“Sebagai seorang anggota jabatan yang baharu dilantik, amanat itu dapat memberi panduan buat saya bagi mengetahui fokus jabatan serta perkara yang perlu diberi penekanan semasa sepanjang saya bertugas nanti.

“Saya cukup yakin semua warga jabatan mampu memenuhi ekspektasi pihak pengurusan agar JaPen terus kekal menjadi peneraju dalam menyebarluaskan segala dasar atau polisi kerajaan,” kongsinya.

-SH

Tinggalkan komen anda