Laporan/foto: Wee Kim Been (Pasir Mas)
PASIR MAS, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Kaum Cina di seluruh dunia akan menyambut Tahun Baharu Cina 2021.
Sambutan tahun ini amat berlainan, agak suram daripada kebiasaan kerana perlu mengikuti SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Amalan Pembudayaan Norma Baharu akibat peningkatan jangkitan COVID-19 saban hari yang telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.
Bagi Kaum Tiong Hwa di Pasir Mas Chan Boi Hui, 45, seorang pengusaha kuih tempatan berpandangan sejak kerajaan mengumunkan PKP dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021, akibat peningkatan kes COVID-19, beliau sebagai pengusaha kuih tradisional seperti kuih bakul dan tepung bungkus amat terkesan.
“Permintaan hasil jualan pada tahun ini amat berkurangan, setiap tahun hasil jualan kuih boleh mencecah hampir RM20,000 pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, kini jualannya cukup terkesan sekali,” ujarnya.
Bagi Jenney Chu dari Kampung Pasir Parit, di sini seorang pengusaha biskut tradisional berkata jumlah permintaan pelbagai aneka jenis biskut tradisonal amat berkurangan sekali.
“Biasanya setiap kali di musim perayaan ini, saya mengupah pekerja sambilan untuk membuat kuih bagi memenuhi permintaan Kaum Tiong Hwa sekitar Kelantan.
“Antara biskut kegemaran yang menjadi pilihan ramai adalah, biskut tart nenas, ngor ku, kuih bangkit, siput kari nyonya dan banyak lagi, tahun ini hampir tiada permintaan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Tan Ai Ling, 53, selaku penjual hiasan dalaman rumah berkata sambutan barangan hiasan dalaman rumah seperti tanglung, bunga-bungaan serta kelengkapan peralatan sembahayang Tahun Baharu pada tahun ini amat merosot sekali.
“Sebilangan besar Kaum Tiong Hwa khususnya di Negeri Kelantan, mereka lebih rela guna pakai kembali barangan yang sedia ada, daripada bersesak untuk mendapatkan keperluan.
“Demi kelangsungan hidup saya terpaksa melakukan lelongan secara atas talian bagi menempuh kesukaran perniagaan yang semakin suram dan tiada tanda penghujung,” ujarnya.
-NAZ