
Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim/Abdul Halim Jumaat (Jelebu)
JELEBU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) ke-38 tahun ini yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ dipilih untuk mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan proaktif bagi melindungi diri dan individu bawah tanggungjawab mereka daripada terjebak dalam kancah berbahaya.
Ketika merasmikan Hari Antidadah tahun 2021 peringkat Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu memberitahu selain pandemik COVID-19, negara kita sentiasa diancam dengan pelbagai permasalahan sosial, antaranya penyalahgunaan dadah.
“Pelbagai inisiatif telah dilakukan sejak dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara pada 19 Februari 1983, di sini semalam.
“Polisi dan komitmen negara terhadap usaha menangani permasalahan dadah telah dinyatakan secara jelas melalui peruntukan akta-akta berkaitan dadah serta peranan setiap pihak juga telah diperincikan dalam Dasar Dadah Negara,” katanya.
Jalaluddin Alias juga memberi ucapan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di atas segala usaha dan tindakan yang dilakukan selama ini dan beliau menasihatkan orang ramai agar turut membantu dalam memerangi najis dadah di negara ini.
“Terima kasih Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang bertungkus lumus berjihad melawan najis dadah dan kita sebagai individu jangan sekadar melihat saja jenayah ini berlaku depan mata, sebaliknya bantulah agensi terlibat dalam mencegah musuh negara ini,” katanya.
Beliau juga berharap kawasan Jelebu akan terus terpelihara daripada najis dadah.
-FF