Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Kembali bawah Angka 2,000

By 26 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Kes harian COVID-19 di negara ini kembali ke angka kurang 2,000 dengan 1,924 kes buat pertama kalinya, sejak Ordinan Darurat dilaksanakan pada 11 Jan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, 1,918 merupakan kes tempatan dan enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini 293,698 kes.

“Sejak penguatkuasaan Ordinan Darurat pada 11 Jan 2021, Malaysia menunjukkan trend penurunan kes harian baharu secara konsisten dan pada hari ini buat pertama kalinya Malaysia kembali melaporkan kes harian kurang daripada 2,000 kes.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pada hari ini merekodkan 3,752 kes menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan ialah 263,761 dan kes aktif sebanyak 28,837.

Beliau berkata 12 kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian sejak pandemik itu melanda negara ialah 1,100, manakala pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 205 kes dengan 91 memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan mengenai kes, beliau berkata Selangor merekodkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 666 kes, diikuti Johor (257) dan Sarawak (219).

Kuala Lumpur (218), Pulau Pinang (162), Perak (120), Sabah (93), Negeri Sembilan (62), Kelantan (44), Kedah (29), Melaka (22), Pahang (19), Terengganu (6), Labuan (4), Putrajaya (2) dan Perlis dengan 1 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda