Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kumpulan Pertama Vaksin COVID-19 Selamat Tiba di Sabah

By 26 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Shahvian Mohd. Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 dengan jumlah 16,380 dos selamat tiba di Sabah kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam, diterbangkan menerusi pesawat TH314 Raya Airways (Cargo Freighter) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, Selangor.

Menyambut ketibaan pesawat berkenaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong.

Masidi memaklumkan keutamaan suntikan vaksin akan diberikan kepada kira-kira 42,117 petugas barisan hadapan.

“Pada hari ini, Sabah menerima sebanyak 16,380 dos vaksin manakala, 9,360 dos lagi akan tiba dalam kumpulan seterusnya.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Datuk Christina Rundi dan Datuk Hazani adalah tiga penerima suntikan pertama vaksin COVID-19 dalam Upacara Perasmian Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung 4 Mac nanti,” katanya.

Mengenai keraguan masyarakat mengenai vaksin itu, Masidi menjelaskan, vaksin berkenaan adalah selamat berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kita tahu, masih ramai yang ragu-ragu terhadap pengambilan vaksin namun, statistik dikeluarkan WHO menunjukkan kesan yang positif.

“Kematian akibat vaksin yang diuar-uarkan telah dibuktikan berpunca daripada penyakit lain dan bukannya vaksin,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Christina Rundi, Pesuruhjaya Polis Datuk Hazani Ghazali serta ketua-ketua jabatan.

-SH

Tinggalkan komen anda