Laporan/foto: Salina Hasan@Abd Rashid/Rizal Jasmi (Alor Gajah)
MELAKA, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyumbangkan sebanyak 100 unit tablet untuk diambil secara pandu lalu oleh keluarga yang terpilih untuk kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.
Beliau berkata pasti sukar untuk keluarga yang kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan PdPR secara dalam talian atau maya seperti telefon bimbit serta komputer untuk anak-anak apatah lagi sekiranya mempunyai lebih dari seorang anak yang bersekolah dan kekangan ini menyebabkan anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran.
“Memandangkan terdapat permintaan yang tinggi maka sebanyak 200 unit tablet tambahan akan diagihkan dalam masa yang terdekat biarpun sesi persekolahan akan dibuka pada bulan hadapan kerana ianya bukan hanya digunakan ketika menjalani PdPR namun anak-anak boleh menggunakan tablet tersebut untuk mengakses pelbagai maklumat penting lain,” ujar Mas Ermieyati ketika menghadiri sidang media di perkarangan Pusat Khidmat Masjid Tanah, baru-baru ini.
Menurut Asni Zainizam Hasan, 42, beliau mempunyai tiga anak yang bersekolah dan terpaksa menggunakan telefon bimbit beliau secara bergilir-gilir dan sukar bagi anak-anak untuk belajar dan membuat kerja sekolah serentak.
“Sekarang ni belajar semua guna internet, susah juga nak pastikan semua anak dapat belajar dan buat kerja sekolah mengikut jadual oleh itu saya amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan tablet ini, maka ini memudahkan anak-anak meneruskan PdPR di rumah.
“Saya ucapkan terima kasih atas pemberian ini,” katanya.
-RJ