Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Ketua Menteri Tinjau Kehidupan Masyarakat Dalam Siri Lawatan Kerja

By 23 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hazlinah Samsir (Kota Kinabalu)/Jabatan Ketua Menteri 

KOTA BELUD, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau kehidupan masyarakat dalam siri lawatan kerja ke daerah Kudat dan Kota Marudu.

Menurut Hajiji, peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberikan peluang untuk beliau melihat perkembangan semasa masyarakat di Sabah.

“Hampir setahun kita dilanda pandemik COVID-19 ini, semestinya ia banyak memberikan impak terhadap kehidupan rakyat terutamanya dalam aspek ekonomi.

“Siri lawatan ini diadakan bagi menyantuni rakyat dengan mendengar perkembangan dan masalah yang dihadapi agar kerajaan dapat merangka rancangan serta penyelesaian dalam usaha meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau ke kawasan Jalan Bypass Kudat, Kampung Lebak Moyoh – Kampung Sembirai yang kerap mengalami masalah banjir di sini, semalam.

Terdahulu, Hajiji dalam lawatan kerja ke Kota Marudu juga turut menyampaikan bantuan tunai sekali beri sebanyak RM300 kepada 20 penternak dan 14 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keseluruhannya bernilai RM10,200, manakala lima penternak di sini turut menerima mesin pengisar rumput untuk memproses makanan ternakan.

Untuk rekod, setakat 21 Februari ini, sejumlah RM55,823,700 bantuan tunai telah diserahkan kepada 186,079 penerima oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat.

-SH

Tinggalkan komen anda