Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 23 Feb (Malaysiaaktif) ā Kerajaan Negeri Sabah meluluskan peruntukan RM6.5 juta bagi menaik taraf bulatan di kawasan Kampung Lebak Moyoh yang menghubungkan bahagian utara negeri Sabah.
Ketua Menterinya Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu perlu dilaksanakan bagi memudahkan perhubungan di antara beberapa daerah seperti Kudat, Pitas, Kota Belud dan Kota Kinabalu.
“Setiap kali hujan, kawasan ini akan dinaiki air sehingga pengguna jalan raya terpaksa menunggu satu hari untuk air surut dan boleh dilalui semula.
“Oleh itu, peruntukan tersebut akan digunakan untuk meninggikan aras tanah di kawasan ini agar masalah banjir dapat diatasi,” katanya ketika ditemui media selepas tinjauan kawasan banjir, di siniĀ semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Ir Ali Ahmad Hamid, berkata projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh enam bulan selepas kerja fizikal dijalankan.
“Buat masa ini, kita memasuki peringkat akhir pemilihan kontraktor dan kerja pembinaan akan dilakukan dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi.
“Dalam pada itu, pembinaan ini juga adalah secara berperingkat agar lalu lintas antara daerah tidak terjejas serta jalan sedia ada masih dapat dilalui oleh pengguna jalan raya,” katanya.
Turut hadir dalam tinjauan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Pegawai Daerah Kota Belud Diyana Abdullah.
-SH