
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain/Mohd Hafizul Adzhari (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Pembukaan semula sektor ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberikan sedikit kelegaan kepada peniaga dan juga pelanggan untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan meskipun masih dalam kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Menurut Pengarah KPDNHEP Negeri Melaka Norena Jaafar, sejak penguasaan peraturan baru yang diumumkan 9 Februari lalu, pihaknya menjalankan pemantauan selama seminggu dengan memberi penerangan kepada pemilik premis supaya mengamalkan norma baharu bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun.
“Orang ramai diminta untuk mengamalkan norma baharu bagi membolehkan aktiviti ekonomi dapat dijalankan disamping mengelakkan diri dari dijangkiti penyakit yang berbahaya ini.
“Hal ini kerana rata-rata peniaga didapati gagal mematuhi pelaksanaan itu disebabkan terlepas pandang dengan arahan baharu yang ditetapkan,” ujarnya ketika melakukan operasi pemantauan di Pasar Alor Gajah, di sini baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid menegaskan pelakasanaan norma baharu perlu dipertingkatkan lagi agar peniaga dan pelanggan dapat mematuhinya dengan betul.
“Pemantauan yang dijalankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah mendapati susun atur gerai yang terlalu dekat antara satu sama lain menjadi punca kesesakan dalam kalangan pengunjung pasar tani yang mengambil masa untuk memilih barangan keperluan yang ingin dibeli,” ujar Salina.
Turut hadir dalam sesi pemantauan berkenaan ialah Pengarah MKN Melaka Mohd Nasrul Menhat serta Yang Dipertua MPAG Mohd Fadhil Hassan.
-KN