
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Pegawai lantikan baharu Jabatan Penerangan Negeri Sabah diingatkan untuk mematuhi garis panduan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta mengamalkan disiplin yang ketat agar menjadi pegawai yang bertanggungjawab.
Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka, berkata mereka adalah calon yang terbaik terpilih untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut dan perlu menghargai peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.
“Amalkan sikap integriti yang tinggi dan amanah dalam menjalankan tugas yang diberikan serta jauhi dadah.
“Perlu ada etika kerja yang sempurna serta perancangan kerja yang teratur agar dapat melaksanakan libat urus kepada umum,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sesi Dialog bersama 18 Pegawai Baharu Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Wisma Dang Bandang, di sini baru-baru ini.
Norzawiyah turut menasihatkan pegawai baharu agar mempunyai pengurusan masa yang baik seperti hadir ke pejabat pada masa yang ditetapkan dan sentiasa menepati masa.
Beliau berharap agar wajah baharu di jabatan itu dapat memberi idea kreatif dan analitik data raya sesuai dengan perubahan semasa.
Pegawai lantikan baharu tersebut terdiri daripada jawatan Pegawai Penerangan, Penolong Pegawai Penerangan, Pembantu Penerangan, Juruaudio Visual, Pembantu Tadbir dan Artis Budaya.
Sementara itu, Timbalan Pengarahnya Harun Maddasa, berkata ketika menyampaikan sesi dialog tersebut, semua pegawai baharu wajib mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi membantu kerajaan dalam memasarkan dasar-dasarnya.
“Tingkatkan kemahiran dalam media sosial dan ubah cara bekerja sesuai dengan perubahan semasa,” jelasnya.
Menurut Harun, mereka perlu berhati-hati dalam memberi komen di media sosial dan tidak membuat penyataan awam, komen yang menginggung sensitiviti, provokasi serta menyebarkan fitnah.
-SH