Laporan/foto: Mohd Firdauas Mahmud (Sungai Petani)
SUNGAI PETANI, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Jambatan Semeling yang ditutup sementara bagi meminimumkan pergerakan sepanjang pelakasanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dibuka semula kerana dilihat memberi kesan kepada pengguna jalan raya apabila terpaksa melalui jalan Semeling – Pekan Bedong yang lebih jauh.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah membuka laluan sementara bagi kegunaan pennunggang motorsikal untuk melalui jambatan berkenaan, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya, namun kesesakan jalan raya di Pekan Bedong masih belum selesai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai Hanif Ghazali telah menyampaikan permohonan secara lisan kepada Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah, dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuala Muda secara dalam talian kelmarin.
“Penutupan ini menyukarkan penduduk setempat apabila mereka terpaksa melalui sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong yang menyebabkan kesesakan lalulintas yang serius apabila pertambahan jumlah kenderaan yang melalui jalan ini berlaku akibat pengguna jalan raya dari kawasan Merbok bertembung dengan pengguna jalan utama Gurun – Sungai Petani,” katanya ketika mengadakan mesyuarat tersebut di pejabatnya, di sini malam semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda telah menerima permohonan berkenaan dan melalui kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Polis Daerah, telah bersetuju untuk membuka semula Jambatan Semeling bermula 12.01 tengah malam tadi.
Rata-rata pengguna jalan raya dari kawasan Merbok melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana permasalahan ini dapat diselesaikan dengan budi bicara daripada pihak berkuasa.
-SH