Laporan/foto: Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)
MARANG, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Pembayaran Fasa 1 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang mula dibayar semalam mendapat reaksi positif daripada masyarakat setempat.
Rata-rata mereka yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan lega atas pembayaran yang dibuat sebanyak RM300 bagi isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM5,000 dan RM150 bagi kategori bujang yang berpendapatan bawah RM2,000.
Mohd Afiq Abd Wahab, 31, pekerja swasta, melahirkan rasa lega apabila telah menerima pembayaran Fasa 1 BPR, semalam.
“Bantuan yang diberikan kerajaan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian keluarga kerana pendapatan saya sedikit terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Manakala bagi Mohd Nurhalim Ghazali, 24, pemilik Pusat Cuci Kereta, berkata langkah kerajaan mempercepatkan bayaran BPR fasa 1 dilihat sebagai langkah baik kerana mampu membantu kelangsungan rakyat yang bergantung kepada upah harian.
“Pada saya, ia satu langkah tepat yang diambil oleh pihak kerajaan memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuatkan sambutan pelanggan agak kurang di pusat mencuci kereta dan pendapatan sedikit terjejas.
“Sehingga sekarang, ada di antara pekerja dan peniaga tidak dapat mencari rezeki seperti biasa manakala dari segi penggunaan duit BPR pula terpulang kepada individu untuk menentukan cukup atau tidak bantuan yang diberikan itu,” katanya ketika ditemui di Bandar Marang, semalam.
Pemilik butik pengantin, Muhammad Hafiz Karim, 29, turut menarik nafas lega apabila termasuk dalam senarai penerima BPR.
Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, perniagaan beliau turut terjejas apabila ramai pelanggan terpaksa menunda tarikh perkahwinan mereka.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan lega setelah menerima BPR Fasa 1 ini yang telah dikreditkan di dalam akaun bank pada tengahari tadi, bolehlah duit itu digunakan untuk keperluan anak-anak.
“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan serta mengharapkan Malaysia terus bangkit, maju dan aman sentosa meskipun berdepan detik sukar ini,” katanya.
-ii-