Laporan/foto: Azreen Ahmad/Mastika Hablum (Jasin)
MELAKA, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengeluarkan kenyataan membenarkan upacara sembahyang sempena perayaan Chap Goh Mei esok memandangkan kerajaan telah bersetuju supaya Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
“Tempoh waktu sembahyang di RIBI adalah tertakluk kepada pengurusan masing-masing dan aktiviti serta upacara sembahyang esok dibenarkan di halaman rumah masing-masing tetapi tidak boleh melepasi kawasan halaman rumah.
“Bagi negeri di bawah PKPB aktiviti keagamaan dan sembahyang di RIBI dibenarkan dengan kehadiran bilangan penganut tidak melebihi 50% daripada saiz ruang rumah ibadat dan tertakluk kepada ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pertimbangan kerajaan negeri,” menurut kenyataan tersebut.
KPN turut menasihati agar penganut dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“KPN turut menasihati semua penganut yang melakukan aktiviti keagamaan dan sembahyang di rumah ibadat di seluruh negara agar mematuhi SOP bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan penganut-penganut dan bersama-sama membudayakan norma baharu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini,” katanya.
~RJ~