Laporan/foto: Jeanne J Som/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
PAPAR, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Penjawat awam yang menyalahgunakan surat kebenaran rentas daerah akan berdepan dengan tindakan tatatertib.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor menegaskan mereka yang melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kita menasihatkan para penjawat awam yang merentas daerah untuk hadir ke pejabat agar tidak menyalahgunakan surat kebenaran yang diberikan oleh ketua jabatan masing-masing.
“Sekiranya berlaku, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada para petugas barisan hadapan serta pengguna jalan raya di SJR Papar anjuran Persatuan Kakitangan Awam Persekutuan Sabah (PEKAPS), di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, jelas Samsuni setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai tindakan kompaun ke atas penjawat awam oleh Polis Kontinjen Sabah berhubung kesalahan tersebut.
Dalam pada itu, Samsuni turut menggesa para penjawat awam agar terus mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa.
“Walaupun laporan kes harian COVID-19 di Sabah kini menunjukkan trend penurunan, kita sarankan para penjawat awam yang turun bekerja supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Ini termasuklah amalan norma-norma baharu dengan memastikan 3W dan mengelakkan 3S sama ada ketika berada di pejabat mahupun di luar,” katanya.
Pada masa sama Samsuni turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 di Dewan Rakan Muda di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, Putatan.
-SH