Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Tatkala anak-anak seusianya masih ligat bermain dan memerlukan pengawasan ibu bapa, Nur Aleesyah Silkiflizan, 12, sudahpun selesa mencari duit sakunya sendiri dengan berniaga secara sambilan seawal usia 10 tahun.
Nur Aleesyah atau lebih mesra disapa Aleesyah, menjadikan aktiviti menjahit dan menjual tudung sekolah jenama sendiri sejak lima bulan lalu secara sambilan sebagai punca pendapatannya.
“Permintaan terhadap tudung sekolah di negeri ini adalah tinggi pada awal dan akhir tahun sedangkan bekalannya agak kurang.
“Pada satu-satu masa, saya melihat terdapatnya permintaan yang sangat tinggi terutama pada penghujung musim cuti sekolah disebabkan kecenderungan para ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolahan pada awal tahun.
“Situasi ini merupakan ruang bagi menjana pendapatan yang lumayan jika kita bijak merebut peluang dan segera bertindak.
“Peluang yang ada ini saya gunakan untuk menyediakan tudung sekolah yang tidak hanya untuk kegunaan golongan pelajar, bahkan golongan dewasa juga turut boleh menggunakannya kerana tudung yang ditawarkan terdapat dalam pelbagai warna dan saiz,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Menurut Aleesyah, membahagikan masa dengan baik merupakan satu cabaran yang perlu dihadapinya memandangkan dirinya masih di bangku sekolah.
“Semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini saya banyak peruntukkan masa terluang dengan aktiviti menjahit dan ketika berniaga saya tidak suka bertangguh dan akan mengatur masa sebaik-baiknya, dan paling penting, perlu bijak meminimakan gangguan semasa bekerja terutama ketika melakukan kerja-kerja menjahit.
“Biasanya selepas menjalani sesi pembelajaran dalam talian, saya mampu menjahit sekitar 20 hingga 50 helai tudung sehari dan setakat ini jumlah tersebut mampu menampung permintaan pelanggan semasa,” katanya.
Menurut Aleesyah yang turut berbakat dalam bidang lukisan ini, beliau ingin memulakan perniagaan ini pada awal tahun lalu namun disebabkan kekurangan modal maka terpaksa ditangguhkan dahulu impian tersebut.
“Setelah mengumpul modal yang mencukupi hasil daripada upah melukis dan mewarna selain mengumpul duit kemenangan daripada beberapa pertandingan melukis yang disertai, akhirnya saya berjaya membeli dua buah mesin jahit.
“Bermodalkan RM3000, saya membeli bahan asas seperti kain, peralatan menjahit dan benang,” katanya lagi.
Gadis manis ini memasang harapan agar perniagaannya terus berkembang maju dan mempunyai cawangan di setiap negeri pada suatu hari nanti.
“Pada awalnya saya hanya meminta bantuan keluarga untuk mempromosikan tudung tersebut di kumpulan WhatsApp, namun tidak menyangka sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.
“Setakat ini saya menerima tempahan pelanggan melalui aplikasi Facebook dan Whatsapp dan semua tudung yang ditempah akan dihantar melalui perkhidmatan pos terutama di luar kawasan Kota Kinabalu.
“Disebabkan PKP ini, kini saya mempunyai agen di beberapa daerah di negeri ini bagi memudahkan pengumpulan tempahan dan pengedaran tudung selain membekalkan tudung kepada koperasi sekolah di sekitar daerah Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu,” ujarnya.
-SH