Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sabah Sasar Tubuh SAN Integrasi di Enam Bahagian

By 20 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KENINGAU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Sabah menyasarkan penubuhan Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi di enam bahagian di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Arif, berkata sekolah yang menggunakan kurikulum merangkumi akademik, agama dan tahfiz itu bakal melahirkan generasi pelajar tahfiz yang cemerlang.

“Setakat ini, kita mempunyai dua buah sekolah integrasi iaitu di Putatan dan Sembulan.

“Sekolah integrasi akan menggunakan kurikulum di mana para pelajar tahun enam menduduki peperiksaan UPSR dan Sijil Rendah Ugama (SRU), di samping mempunyai kebolehan menghafal separuh daripada al-Quran.

“Kita sedang berusaha dan berharap penubuhannya di enam bahagian dapat direalisasikan mulai tahun 2021,” dedahnya kepada media selepas melawat ke Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Keningau, di sini semalam.

Arifin menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan pengurusan oleh Ramlan (kanan) kepada Mohd Abidin (kiri).

Arifin menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan pengurusan oleh Ramlan (kanan) kepada Mohd Abidin (kiri).

Pada sesi lawatan itu, Arifin menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM45,000 daripada Pusat Zakat Sabah khusus untuk membiayai keperluan tenaga pengajar di sekolah tersebut.

Turut disampaikan, sumbangan dana pengurusan sekolah daripada MUIS untuk pelaksanaan program serta aktiviti sekolah sepanjang tahun sebanyak RM72,000.

Arifin turut mengumumkan, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.6 juta bagi pembayaran bantuan RM200 kepada lebih 37 ribu calon peperiksaan.

“Bantuan tersebut meliputi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Pelajar-pelajar yang telah mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun pertama juga layak menerima bantuan RM2,000,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pengurusan) JHEAIN Ramlan Awang Ali, Pengetua SMAN Keningau Mohd Abidin Hasmin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidkan JHEAINS
Abd Rahman Talipudin.

-SH

Tinggalkan komen anda