Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 26 Februari ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Dimomokkan dengan kesan sampingan vaksin itu, Norfianah Jual, 31, yang berasal dari Kampung Binsuluk, Beaufort berpendapat, tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Ia adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab kita sebagai masyarakat prihatin dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan.
“Pandemik yang melanda bukan hanya memberi kesan terhadap kesihatan, malah terdapat golongan yang menerima tamparan dari segi ekonomi dan tekanan emosi.
“Oleh yang demikian, menangkis persepsi negatif serta memberikan kerjasama dalam program imunisasi yang dilancarkan adalah sumbangan yang dapat diberikan dalam membantu Malaysia pulih semula,” katanya yang ditemui pemberita di sekitar bandar ini, semalam.
Sementara itu, Dong Suan, 56, dari Kampung Chinta Mata, Tenom memberi jawapan pasti dalam mendapatkan suntikan vaksin.
“Sudah tentu saya akan mengambil vaksin itu nanti, saya berusia dan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus COVID-19.
“Selain itu, program imunisasi adalah sinar harapan untuk bebas bergerak jika dibandingkan dengan kehidupan sekarang yang perlu duduk di rumah kerana risau akan jangkitan,” jelas pemandu teksi itu.
Tambah Dong, maklumat jelas mengenai program itu perlu diterangkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa agar lebih ramai berani tampil menerima vaksin itu nanti.
Sependapat dengannya, Benyamin Badus, 28, berasal dari Kampung Bongawan, Papar berkata suntikan vaksin COVID-19 merupakan langkah berkesan dalam mengekang penularan wabak tersebut.
“Namun begitu, usaha dalam mendidik masyarakat perlu dijalankan secara giat bagi membasmi pemahaman terhadap kesan negatif vaksin yang tidak jelas sumbernya.
“Sekiranya dapat diketengahkan impak positif dialami negara lain yang terdahulu menjalankan program imunisasi vaksin COVID-19 ini, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat,” kongsinya pula.
-SH