
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina di sini dijangka disambut sederhana oleh penduduk setempat dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.
Ang Ah Kiang, 72, berkata kelaziman bagi sambutan Tahun Baharu Cina, tarian singa akan dimainkan dari rumah ke rumah untuk memberi berkat serta kesejahteraan kepada keluarga namun pada tahun ini sebarang aktiviti kebudayaan dan persembahan seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, opera dan petunjukan pentas tidak dibenarkan.
“Tradisi sambutan Tahun Baharu Cina, ahli keluarga yang sudah berkahwin akan memberi angpau kepada saudara-mara dan sahabat-sahabat yang membawa maksud kebahagian yang berpanjangan di sebalik pemberian tersebut,” katanya ketika ditemui di Kuala Dungun, di sini hari ini.
Menurut Ah Kiang, mengikut kalendar lunar, tarikh tahun baharu sebenarnya berbeza dari tahun ke tahun dan ia melambangkan kelahiran tahun baharu yang terdapat kitaran 12 tahun dan dinamakan mengikut nama haiwan atau zodiak masyarakat Cina.
“Terdapat 12 haiwan Astrologi Cina dalam kalendar lunar iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir manakala tahun ini adalah tahun lembu iaitu haiwan kedua dalam kitaran kalendar itu,” katanya.
Sementara itu, Ang Ah Tat, 62, berkata beliau tidak bercuti panjang kerana tempoh masa untuk meraikan tahun baharu kali ini disambut secara ringkas.
“SOP yang ditetapkan oleh kerajaan amat baik namun sekiranya kerajaan membuat makluman SOP lebih awal persiapan dapat dibuat dengan lebih baik.
“Saya berharap semua yang akan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini akan mematuhi SOP dan menggunakan MySejahtera,” katanya.
Di samping itu, Wee Kah Hui, 56, pula menjelaskan bahawa mereka yang lahir pada tahun lembu dipercayai mempunyai ciri-ciri seperti bekerja keras, aktif dan sentiasa sibuk.
“Dalam aspek kepimpinan mereka yang lahir pada tahun lembu adalah pemimpin yang setia, bersikap tegas dan sangat dipercayai.
“Antara larangan yang masih diamalkan oleh masyarakat Cina adalah tidak boleh menyapu rumah kerana ia bermakna akan menyapu keluar kekayaan.
“Semoga sambutan Tahun Baharu Cina dapat diraikan dalam keadaan meriah dalam suasana sederhana namun mempunyai makna yang tersendiri dalam negara menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.
-ii-